Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita pemergian pengasas Dnar’s Cosmetics akibat kemalangan jalan raya di selatan Thailand. Berita pemergiannya diratapi oleh ramai orang terutamanya ahli keluarga, pekerja dan rakan-rakan bisnes beliau. Dalam temubual dengan Sinar Harian, suami kepada allahyarham, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, beliau memaklumkan berasa mengantuk semasa memandu dan sempat terlelap di lampu isyarat. Disebabkan rasa mengantuk yang tidak dapat ditahan, beliau bercadang untuk singgah ke RnR sebentar. Namun, semasa dalam perjalanan ke RnR, Ahmad Shah seakan terlelap dalam sesaat dua dan dikejutkan oleh arwah. Tanpa disangka tiba-tiba dia sudah pun melanggar belakang sebuah lori.

APAKAH MICROSLEEP?

Keadaan ini dipanggil microsleep. Menurut Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, microsleep adalah keadaan dimana badan ‘tidur’ buat seketika. Segala input dari deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses otak. Tempoh microsleep adalah antara 1 hingga 30 saat. Ia boleh berlaku walaupun mata masih terbuka. Seperti sebuah komputer, otak telah “shut down“. Pada kelajuan 70km/h, microsleep selama 3 saat menyebabkan kenderaan menyusur tanpa kawalan sejauh 200 meter. Dalam jarak 200 meter, nyawa boleh melayang dalam sekelip mata. Bayangkan apa yang boleh berlaku apabila kenderaan dipandu pada kelajuan 100 km/h.

Seringkali pemandu memikirkan dia kebal.
“Accident berlaku kepada orang lain. Aku ada skill. Kereta pun elok.”
Keinginan untuk bersama keluarga tersayang yang terpisah buat sekian lama dijadikan motivasi untuk gagah memandu walaupun sudah terlalu mengantuk.
“Aku dah janji dengan anak – anak nak bawa mereka berjalan. Kesian mereka kalau aku lambat.”

Ada juga yang berpendapat jika kenderaan dipandu dengan laju, akan kurang mengantuk akibat kesan ‘adrenaline‘ yang meningkatkan upaya ‘fight or flight‘. (Fight or flight adalah sitiuasi dimana badan bersedia untuk menghadapi keadaan yang memberhayakan diri: lari atau lawan). Manakala jalan yang berbengkang bengkok seperti di Lebuhraya Karak akan menghilangkan rasa mengantuk kerana pemandu lebih fokus dengan cabaran ambil ‘konar’. Dua fakta ini hanya mengundang bahaya. Kesan ‘fight or flight‘ hanya seketika sahaja. Sistem badan akan ‘burn out‘ dan akhirnya boleh menyebabkan microsleep yang lebih lama.

LANGKAH PENCEGAHAN

Salah satu yang mungkin kita boleh amalkan untuk mengelakkan kepenatan dan perasaan mengantuk yang melampau dalam kesibukan berjalan raya ini ialah dengan mengamalkan power napping. Power nap ialah perlakuan tidur sebentar antara 15-30 minit yang dilakukan untuk mengembalikan semula ketajaman minda dan ‘physical performance‘. Masa yang terbaik untuk melakukan power nap ialah pada waktu tengahari.

Untuk penumpang hadapan pula, jadilah co-driver yang baik. Apabila perjalanan bermula janganlah berdengkur sahaja ataupun sumbat earphone di telinga dan layan filem Korea seorang diri. Cuba lakukan beberapa perkara ini:

1. Bersembang dengan pemandu untuk elakkan rasa mengantuk.
2. Perhatikan cara pemanduan. Jika sudah mula membawa tidak mengikut lorong, tegur pemandu. Cadangkan untuk berehat seketika di stesen minyak.
3. Sekali sekala lihat paparan dashboard pemandu. Adakah pemanduan terlalu laju? Ada tak lampu – lampu amaran yang menyala? Jika ada, tegur.

Berhati hati di jalan raya. Musim perayaan telah bermula. Jangan jadikan diri dan keluarga anda sebahagian daripada statistik OPS SIKAP.

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here