APAKAH ITU MALAM LAILATUL QADAR?

Lailatul Qadar dinyatakan di dalam al-Quran sebagai “lebih baik daripada seribu bulan”. Malam Qadar ini cuma ada pada bulan Ramadhan dan disebabkan itulah Rasulullah s.a.w mengajar umatnya untuk memaksimumkan amal ibadah dalam malam-malam terakhir Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Apa sahaja ibadah yang dilakukan pada malam ini seperti membaca al-Quran, berzikir kepada Allah, dan lain-lain ibadah adalah lebih baik daripada beribadah untuk 1000 bulan yang tidak mengandungi malam Qadar.

Rasulullah s.a.w sendiri melakukan ibadah dengan penuh ketaatan dan bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, berbanding pada masa-masa yang lain. Saidatina Aishah (RA) berkata bahawa Nabi bersabda:

“Carilah Lailatul Qadar pada malam bernombor ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadan”


(HR. Bukhari)

Rasulullah s.a.w menyeru umatnya untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t dan menjauhkan diri dari pelbagai hal dunia. Ibadah yang dilakukan diharap dapat menggapai kebaikan dan keberkatan yang disediakan Allah s.w.t dalam bulan yang mulia ini. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang sembahyang pada malam Qadar (Lailatul Qadar) dengan penuh keimanan dan harapan untuk mendapat ganjarannya, maka semua dosa-dosa sebelum ini akan diampunkan.”


(HR. Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

7 AMALAN DI SEPULUH MALAM TERAKHIR RAMADHAN

Oleh itu, sebagai umat yang cintakan Rasulullah s.a.w, sebaiknya kita mencontohi amalan Rasulullah dalam beribadah ketika menjelang 10 malam terakhir Ramadhan bagi meraih ganjaran istimewa dari Allah s.w.t. Antara amalan yang sangat dianjurkan dan diamalkan oleh Baginda adalah:

1Qiamullail

Qiyamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada Lailatul Qadar kerana keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampuni untuknya segala dosanya yang telah lalu.”

2Membaca Al Quran

Bulan Ramadan juga adalah bulan al Quran, bulan di mana turunnya al-Quran (Nuzul al-Quran).

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’, Makkah iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda seperti mana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.”   


(Surah al Baqarah:185)

Oleh yang demikian, umat Islam haruslah membacanya, menghayatinya, mempelajarinya dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

3Beriktikaf

Iktikaf ialah berdiam diri dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan cara menyucikan jiwa dan hati, merenungi dosa-dosa (perbuatan-perbuatan) yang telah dilakukan, memohon petunjuk untuk menghadapi kehidupannya dihadapan, dan menghadap ke hadrat Allah dengan segala keperluan dan urusannya.

Perbuatan iktikaf adalah sunnah Baginda s.a.w pada bulan Ramadan atau di bulan-bulan lain, namun iktikaf adalah lebih khusus dilakukan pada bulan Ramadan. Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w banyak beriktikaf pada 10 malam terakhir seperti yang diterangkan melalui hadis dari Saidatina Aisyah r.a;

“Sesungguhnya Nabi s.a.w beritikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan hingga beliau wafat, kemudian isteri beliau beritikaf setelah itu.”

4Banyakkan Berdoa

Doa adalah ibadah/amalan yang disukai oleh para nabi dan rasul serta orang yang soleh. Doa pada bulan Ramadan akan mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t, jadi berdoalah sebanyak-banyak pada 10 malam terakhir Ramadan. Firman Allah:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”


(Surah al-Baqarah:186)

Saidina Aishah, ra berkata: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:

‘Wahai Rasulullah, jika aku tahu bila malam adalah malam Qadar, apakah yang perlu aku ucapkan semasa doa?’

Baginda berkata:

“Katakanlah: Ya Allah, Engkau adalah Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkan aku”


(HR. Ahmad, Ibn Majah, dan Tirmidzi)

5Banyakkan Beristighfar Dan Bertaubat

Dalam melalui sepuluh malam terakhir, lakukanlah solat sunat taubat, termasuklah banyak beristighfar kepada Allah s.w.t. Taubat dan istighfar adalah amalan yang sangat dituntut pada oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:

“Dan bertaubatlah kalian seluruhnya kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kalian beruntung.”    


(Surah an-Nur:31)

Istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Kita sebagai seorang manusia biasa tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh itu, kita perlulah sentiasa beristighfar di dalam kehidupan seharian kita. Istighfar mempunyai banyak lafaz dan bukannya terhad pada satu lafaz sahaja. Semoga Allah meletakkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga.

6Mengerjakan Umrah

Umrah di bulan Ramadan merupakan amalan sunnah Rasulullah s.a.w. Ibadah ini juga merupakan amalan para solehin yang mengandungi banyak kelebihan dan keistimewaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda;

“Umrah pada bulan Ramadhan menggantikan haji bersamaku.”

Ibadah umrah dapat dilakukan sepanjang tahun. Namun umrah di bulan Ramadhan memiliki nilai pahala yang lebih tinggi. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Umrah di bulan Ramadhan (pahalanya) menyerupai haji”


(HR. Tirmidzi)

Semoga Allah memudahkan jalan bagi kita untuk melaksanakan umrah di bulan Ramadhan dan memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita agar dapat menghidupkan bulan Ramadhan dengan amal-amal kebaikan.

7Sedekah

Amalan ibadah bulan Ramadhan tidak hanya yang berhubungan langsung dengan Allah, tapi juga terdapat amalan yang memberikan kebaikan langsung kepada orang lain. Salah satunya adalah sedekah. Memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a.:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling dermawan. Dan kedermawaan beliau akan bertambah pada bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibril. Beliau bertemu dengan Jibril setiap malam Ramadhan untuk mempelajari Al-Quran, dan Rasulullah s.a.w lebih dermawan dari hembusan angin (yakni sangat mudah mengeluarkan sedekah).”


(HR. Bukhari)

Sedekah di bulan Ramadhan boleh dilakukan dengan mengeluarkan sedekah seperti kebiasaannya. Tetapi, kita akan mendapat lebih pahala jika sedekah itu dilakukan dengan cara memberi makanan untuk berbuka, kerana kita akan mendapat dua pahala sekaligus iaitu pahala sedekah dan pahala memberi makan orang berbuka puasa.

Kesimpulannya, sebagai umat Islam, rebutlah keberkatan dan janji Allah s.w.t tentang istimewanya malam Lailatul Qadar dengan memperbanyakkan lagi amal ibadah dengan niat untuk dinilai akan segala kebaikan itu di akhirat kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here